Rayuan BR1M 2017 - Cara dan Langkahnya

Bermula dari 22 Februari 2017, pemohon Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) telah boleh menyemak status kelulusan permohonan atau kemaskini. Untuk maklumat anda, setiap permohonan dan maklumat kemaskini akan disemak oleh beberapa agensi yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia seperti berikut:

Bil

Nama Agensi

Bil

Nama Agensi

1

Jabatan Pendaftaran Negara

7

Polis Diraja Malaysia

2

Angkatan Tentera Malaysia

8

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

3

Jabatan Akauntan Negara Malaysia

9

Kumpulan Wang Amanah Pencen

4

Jabatan Perkhidmatan Awam

10

Jabatan Pengangkutan Jalan

5

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

11

Kementerian Pendidikan Tinggi

6

Jabatan Agama Islam Negeri

12

Suruhanjaya Syarikat Malaysia


Bagi mereka yang gagal dalam permohonan BR1M 2017, surat dan email pemakluman akan dihantar kepada pemohon yang akan menjelaskan sebab kegagalan.

Namun begitu, harapan masih ada! Kerajaan telah membuka permohonan rayuan secara percuma kepada pemohon yang gagal dalam mendapat bantuan BR1M. Tempoh rayuan bermula dari 3 April 2017 sehingga 31 Mei 2017.

Secara umumnya, terdapat beberapa sebab kegagalan permohonan BR1M dan kami mencadangkan langkah-langkah yang boleh diambil sebelum membuat rayuan.

Sebab-sebab Kegagalan

Langkah-langkah

Maklumat Peribadi

-Maklumat peribadi tidak tepat seperti nama dan no. kad pengenalan

Menyemak semula sama ada kesilapan ejaan dan maklumat yang tidak tepat. Jika ada, anda perlu membetulkannya dalam borang rayuan dan menyertakan salinan dokumen berkaitan.

Dokumen Peribadi

-Tidak menyertakan dokumen pengesahan seperti dokumen kematian pasangan, dokumen pengesahan penceraian dan penyata gaji

 

Menyemak segala dokumen pengesahan yang sepatutnya disertakan, jika terkurangnya dokumen pengesahan, maka anda perlu mengemukakannya bersama dengan borang rayuan.

Maklumat Pasangan

- Tiada maklumat pasangan bagi pemohon berstatus kahwin

Mengemukakan maklumat pasangan sekiranya anda telah berkahwin seperti salinan sijil perkahwinan, dokumen pengenalan pasangan, penyata pendapatan tahunan 2016 dan lain-lain.

Jumlah Permohonan

- Memohon lebih dari satu kali (suami & isteri membuat permohonan berasingan)

 

Periksa samada pasangan anda telah/pernah memohon lebih dahulu dari anda sebelum membuat permohonan.

Tanggungan

- Maklumat tanggungan yang tidak tepat

 

Memastikan maklumat tanggungan lengkap seperti nama dan no. pengenalan.

Kemaskini Permohonan

- Tidak mengemaskini permohonan BR1M bagi tempoh 3 tahun kebelakangan (2014)

 

Permohonan anda akan dianggap tidak lagi sah untuk diproses jika anda tidak melakukan pengemaskinian melebihi tempoh yang ditetapkan. Jadi, anda perlu mengemas kini maklumat permohonan dengan menggunakan borang rayuan.


Perlu diingatkan bahawa permohonan rayuan BR1M tidak boleh dikemukakan secara talian dan perlu dibuat secara manual dengan menggunakan serta melengkapkan butiran dalam borang rayuan. Hal ini kerana pemohon perlu sertakan salinan dokumen yang berkaitan.

Di sini kami menyertakan Borang Rayuan Bantuan Rakyat 1 Malaysia dan senarai Alasan BR1M Tidak Lulus serta dokumen yang perlu dikemukakan ketika rayuan BR1M 2017. Sebagai peringatan, jangan lupa sertakan pembuktian salinan dokumen diperlukan mengikut kod alasan tidak lulus sepertimana yang diberitahu dalam bahagian lampiran borang rayuan. Penerima sedia ada juga boleh menggunakan borang rayuan untuk mengemas kini maklumat mereka sepanjang tempoh rayuan dibuka.

Bagi permohonan yang berstatus Tidak Lulus (Maklumat pendapatan pemohon / pasangan / tanggungan perlu pengesahan) [kod 38], anda tidak perlu hadir ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk sebarang pengesahan. Anda boleh hadir ke Cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) termasuk di Pusat Khidmat Hasil (PKH) dan Urban Transformation Centre (UTC) yang terdekat semasa tempoh rayuan untuk permohonan rayuan BR1M 2017.

Berikut adalah Jadual Pembukaan Kaunter Rayuan BR1M Di Cawangan LHDNM:

JADUAL PEMBUKAAN KAUNTER RAYUAN BR1M 2017

 DI CAWANGAN LHDNM

BERMULA 3 APRIL 2017 SEHINGGA 31 MEI 2017

NEGERI

HARI

WAKTU OPERASI

Cawangan LHDNM (Kecuali Kedah, Kelantan, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak)

Isnin - Jumaat

8.45 Pagi – 5.00 Petang

Cawangan LHDNM Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor

Ahad - Rabu

8.45 Pagi – 5.00 Petang

Khamis

8.45 Pagi – 3.30 Petang

Cawangan LHDNM Sabah dan Sarawak

Isnin - Jumaat

8.15 Pagi – 4.00 Petang

Cuti Hujung Minggu / Cuti Umum

Tutup

  • Termasuk Pusat Khidmat Hasil (PKH) dan Urban Transformation Centre (UTC), LHDNM

 

Sebagai makluman, permohonan BR1M yang berstatus lulus tetapi proses pengkreditan Fasa 1 ke akaun bank adalah tidak berjaya (gagal kredit), penerima berkenaan akan menerima surat makluman gagal kredit bertarikh 10 Mac 2017 [BK-02A(2)(i) / BK-02B(2)(i) / BK-02C(2)(ibt) / BK-02C(2)] iaitu surat makluman bersama baucar yang berwarna kelabu (cetakan hitam putih). Penerima perlu hadir ke mana-mana cawangan BSN dengan membawa surat berkenaan untuk penunaian mulai 20 Mac 2017.

Selain itu, jika pemohon pernah menerima bantuan BR1M pada tahun lalu tetapi ditolak permohonan atas alasan mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada tahun ini, mereka bakal menerima bantuan tersebut secara berperingkat-peringkat. Bagaimanapun, jika mereka masih gagal mengemukakan penyata kewangan atau lampiran pendapatan mahupun salinan buku bank [kod 38 & kod 46] yang boleh menjadi bukti pengesahan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), mereka tidak akan menerima baki bantuan tersebut pada fasa pembayaran seterusnya iaitu Jun dan Ogos (kategori isi rumah).

Untuk memudahkan pemohon membuat semakan BR1M, kerajaan telah memperkenalkan aplikasi mobile yang dinamakan Semakan BR1M. Terdapat 2 jenis platfom yang telah dibangunkan iaitu Android dan iOS. Aplikasi Semakan BR1M sangat mudah digunakan kerana ia hanya perlu dimuat turun sekali sahaja secara percuma di dalam telefon pintar anda. Aplikasi ini tidak akan mengambil atau menyimpan apa-apa maklumat peribadi anda dan ia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan sebarang badan yang dipaparkan. Yang penting, semua info diperolehi dari portal rasmi BR1M. Dengan adanya aplikasi Semakan BR1M ini, pengguna aplikasi dapat menyemak status penghantaran borang, status permohonan, status bayaran dan status rayuan di mana-mana sahaja.

Usaha kerajaaan dalam membantu rakyat boleh dibuktikan dengan pelaksanaan BR1M dan ia sedikit banyak boleh membantu golongan yang amat memerlukan bantuan dari segi kewangan. Bagi pemohon yang gagal, jangan lepaskan peluang untuk membuat rayuan. Semoga anda berjaya!

 

 

Share