Panduan Pendaftaran Syarikat Baru: Enterprise atau Sdn Bhd?

Di Malaysia, terdapat 3 jenis organisasi utama perniagaan iaitu Enterprise (Pemilikan Tunggal dan Perkongsian), Syarikat Sendirian Berhad Dengan Saham (Sdn Bhd), dan Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT). Dalam artikel ini, kami akan menumpu kepada Enterprise dan Syarikat Sendirian Berhad Dengan Saham (Sdn Bhd) memandangkan kedua-dua entiti perniagaan ini adalah lebih popular di Malaysia.

Enterprise dan Sdn Bhd mempunyai kebaikan dan keburukan masing-masing. Jika anda merancang untuk memulakan perniagaan, adalah penting bagi anda untuk mempertimbangkan sifat dan perbezaan antara kedua-dua entiti perniagaan demi kebaikan jangka panjang perniagaan anda.

Berikut adalah perbezaan antara Enterprise dan Syarikat Berhad Dengan Saham (Sdn Bhd)

 

Enterprise

(Pemilikan Tunggal dan Perkongsian)

Syarikat Berhad Dengan Saham

(Sdn Bhd)

Sesuai bagi perniagaan baru dan kecil kerana ia lebih menjimatkan kos dan masa pendaftaran.

Sesuai bagi perniagaan yang untungnya tinggi atau perniagaan kecil yang semakin berkembang.

Liabiliti

Liabiliti tidak terhad. Kekayaan peribadi pemilik perniagaan mungkin terjejas & terdedah kepada risiko.

Pengarah tidak bertanggungjawab terhadap liabiliti syarikat.

Pemegang saham bertanggungjawab terhadap liabiliti syarikat, tetapi terhad di mana kekayaan peribadi mereka dilindungi.

Tanggungjawab undang-undang

Pemilik perniagaan bertanggungjawab terhadap syarikat dari segi perundangan.

Pengarah bertanggungjawab terhadap syarikat dari segi perundangan, bukannya pemegang saham.

Kos Permulaan

RM100++

RM 1500-RM3000

Kos Penyelenggaraan Tahunan

Bawah RM 100*

RM5,500++

Cara Pendaftaran

Kaunter SSM  atau online

Setiausaha Syarikat

Kadar Cukai

Pemilik sendiri yang membayar cukai dan kadar cukainya tinggi.

Syarikat yang membayar cukai, bukan pemilik. Kadar cukai rendah.

Peluang Perancangan Cukai

Terhad. Keuntungan perniagaan akan dikenakan cukai secara peribadi terhadap pemilik. Syarat peruntukan cukai yang kurang memuaskan.

Perancangan cukai dapat dilakukan dengan lebih baik sedangkan syarikat merupakan entiti yang berasingan. Pengarah dapat menjimat cukai sekurang-kurangnya 20% berbanding dengan cukai peribadi.

Jangka Hayat Perniagaan

(Jika pemilik / rakan kongsi telah meninggal dunia)

Pemilikan Tunggal

- Operasi akan diteruskan jika pemilik melantik wakil.

Perkongsian

- Jika perjanjian menetapkan syarat bahawa perkongsian masih boleh diteruskan, secara amnya pekongsi yang meninggal dunia akan menerima bayaran berdasarkan sumbangan wangnya kepada perkongsian, pembahagian bagi liabiliti perkongsian dan keuntungan yang belum diagihkan sebelumnya.

Sdn Bhd tidak akan tamat dan syarikat masih wujud walaupun pengarah telah meninggal dunia.

Jika pengarah tunggal meninggal dunia, setiausaha syarikat akan mengadakan mesyuarat dengan keluarga pengarah bagi melantik seorang pengarah baru. Jika keluarga pengarah gagal untuk melantik seorang pengarah dalam masa 6 bulan bermula dari hari kematian pengarah, Pendaftar syarikat boleh mengarahkan syarikat itu dibatalkan daripada daftar.

* Jika pemilik tidak mengupah juruaudit dan akauntan

 

Merujuk kepada jadual di atas, boleh dilihat bahawa enterprise adalah lebih mudah diurus dan kos penyelenggaraan perniagaan juga lebih rendah berbanding dengan Sdn Bhd. Memandangkan tiada kewajipan bagi enterprise untuk melantik setiausaha syarikat dan mengauditkan akaun, maka proses penyediaan untuk membayar cukai adalah lebih senang dan mudah. Namum begitu, kadar cukai pemilik akan meningkat kerana pendapatan perniagaan akan dikenakan cukai dan pemilik perlu membayar cukai secara peribadi.

Apabila berlakunya peningkatan atau penjanaan modal perniagaan, enterprise tidak memerlukan kesahihan yang banyak kerana tiada kewajipan bagi pemilik untuk memaklumkan kepada pendaftar syarikat. Lazimnya enterprise, sama ada pemilik tunggal atau perkongsian, kebanyakan mereka menjalankan perniagaan yang kecil dalam industri sederhana berbanding dengan Sdn Bhd kerana risiko perniagaan adalah lebih rendah. Jadi, jika anda merancang untuk menjalankan perniagaan kecil, enterprise adalah lebih sesuai bagi anda. Anda boleh merujuk panduan pendaftaran enterprise berikut.

GARIS PANDUAN PENDAFTARAN ENTERPRISE

1. Apakah syarat untuk mendaftar enterprise di Malaysia?

i. Pemilik/rakan kongsi mesti warganegara Malaysia atau penduduk tetap

ii. Berumur 18 tahun ke atas

iii. Perniagaan dijalankan mestilah di Semenanjung Malaysia atau Wilayah Persekutuan Labuan

iv. Hanya pemilik / rakan kongsi dibenarkan untuk mengemukakan permohonan.

 

2. Berapa lamakah masa yang akan diambil untuk mendaftar enterprise?

Sijil Pendaftaran Perniagaan boleh diperolehi dalam masa 1 jam selepas pembayaran.

 

3.Bagaimanakah cara untuk mendaftar enterprise?

Pendaftaran boleh dibuat dimana-mana kaunter Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau secara dalam talian melalui perkhidmatan Ezbiz Online di ezbiz.ssm.com.my. Kemudian, lengkapkan Borang Pendaftaran Perniagaan Baru (Borang A) beserta dokumen seperti berikut:

i. Salinan pemilik dan / atau kad pengenalan rakan kongsi;

ii. Permit, lesen atau surat sokongan mengikut jenis perniagaan cth. Pusat Jagaan Kanak-kanak (Jabatan Kebajikan Masyarakat), Tadika, Pusat Tuisyen, Sekolah / Kolej (Kementerian / Jabatan Pendidikan); dan

iii. Kelulusan atau surat sokongan daripada agensi berkaitan sekiranya diperlukan oleh Pendaftar Perniagaan.

 

Perniagaan boleh didaftarkan menggunakan nama sendiri atau nama tred

(a) Nama sendiri – Perniagaan yang menggunakan nama sendiri seperti di kad pengenalan tidak perlu membuat permohonan kelulusan nama

(b) Nama Tred – Lengkapkan Borang Permohonan Kelulusan Nama Perniagaan (Borang PNA.42)

Anda boleh rujuk kepada Panduan Permohonan Nama Perniagaan.

 

4. Berapakan yuran pendaftaran enterprise?

Perniagaan pemilikan tunggal menggunakan nama sendiri seperti di kad pengenalan – RM30.00.

Perniagaan pemilikan tunggal atau perniagaan perkongsian menggunakan nama tred - RM60.00.

Pendaftaran cawangan – RM5.00 setiap cawangan.

Cetakan Maklumat Perniagaan – RM10.60 (Termasuk GST).

 

Sebagai peringatan, anda perlu mendaftar perniagaan tidak lewat daripada tiga puluh (30) hari dari tarikh permulaan perniagaan. Pendaftaran baru perniagaan adalah sah bagi jangkamasa satu (1) tahun dan tidak melebihi lima (5) tahun pada setiap pendaftaran.

 

Berbanding enterprise, operasi perniagaan Sdn Bhd memberi lebih banyak kelebihan kepada pemegang saham kerana pemegang saham dan syarikat merupakan dua entiti yang berbeza. Syarikat akan bertanggungjawab ke atas semua hutang dan ia tidak akan menjejaskan harta peribadi pemegang saham sama sekali.

Sekiranya syarikat digulungkan, pemegang saham hanya akan bertanggungjawab ke atas saham-saham yang belum dibayar kepada syarikat dan jika saham telah dibayar sepenuhnya, maka tidak ada kewajipan bagi pemegang saham untuk menyumbang aset peribadinya dan menyelesaikan hutang syarikat. Selain itu, biasanya akaun Sdn Bhd yang telah dioperasikan dalam jangka masa yang panjang adalah lebih dipercayai, jadi ia adalah lebih mudah untuk memohon pinjaman (bergantung kepada keadaan tertentu).

GARIS PANDUAN PENDAFTARAN SDN BHD

1. Apakah syarat untuk mendaftar Sdn Bhd di Malaysia?

Syarikat perlu mempunyai sekurang-kurangnya dua (2) orang sebagai pengarah syarikat dan memenuhi syarat seperti di bawah:

i. Malaysia atau Warga Asing yang menetap di Malaysia.

ii. Berumur 18 tahun ke atas.

iii. Tidak bankrap.

iv. Tidak pernah disabitkan dengan kesalahan berat dalam tempoh 5 tahun yang lalu.

 

2. Berapa lamakah masa yang akan diambil untuk mendaftar Sdn Bhd?

Sdn Bhd biasanya boleh didaftarkan dalam tempoh tiga (3) hingga sepuluh (10) hari bekerja.

 

3. Apakah yang diperlukan untuk mendaftar Sdn Bhd?

i. Cadangan nama syarikat

ii. Aktiviti perniagaan syarikat(Max 3)

iii. Salinan kad pengenalan (Malaysia) atau Pasport (Warga Asing) semua pengarah & pemegang saham.

iv. Alamat kediaman semua pengarah & pemegang saham, jika ia adalah berbeza dari kad pengenalan.

v. Maklumat modal berbayar syarikat (Min. RM2 & Max RM2,500)

vi. Struktur bahagian syarikat (peratusan pegangan saham oleh setiap pemegang saham)

 

4. Apakah prosedur untuk mendaftar Sdn Bhd?

Terdapat tiga (3) peringkat untuk menubuhkan sebuah syarikat di Malaysia:

i. Permohonan Carian Nama Syarikat

Mendapatkan kelulusan nama syarikat dari SSM. Biasanya SSM akan mengambil beberapa jam hingga dua (2) hari bekerja untuk memaklum balas permintaan pendaftar. Antara langkah-langkah yang terlibat adalah:

(a) Melengkapkan dan menyerahkan Borang 13A (Permohonan Carian Nama Syarikat) kepada SSM; dan

(b) Bayaran yuran sebanyak RM30.00 bagi setiap nama yang dipohon.

Sekiranya nama yang dicadangkan diluluskan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia, ianya akan direzab selama tiga bulan dari tarikh kelulusan. Anda boleh merujuk Panduan Permohonan Nama Perniagaan.

 

ii. Penyediaan Dokumen.

Setelah kelulusan permohonan carian nama, setiausaha syarikat akan menyediakan dokumen-dokumen untuk ditandatangani oleh para pemegang saham dan pengarah. Proses ini akan dilakukan dalam beberapa jam hingga beberapa hari bekerja dan bergantung kepada masa perjumpaan sebenar yang ditetapkan antara setiausaha syarikat, pemegang saham dan pengarah. Bayaran perlu diselesaikan sepenuhnya sebelum menerus ke peringkat yang seterusnya. Biasanya, yuran kesetiausahaan bagi penubuhan syarikat adalah berjumlah RM 1500 hingga RM 3000.

 

iii. Setem dan Penyerahan

Apabila semua dokumen telah ditandatangani, setiausaha syarikat akan mengemukakan dokumen kepada agensi-agensi kerajaan yang berkaitan untuk proses setem dan penyerahan. Dokumen hendaklah dikemukakan kepada SSM dalam tempoh 3 bulan dari tarikh kelulusan nama syarikat oleh SSM, jika gagal berbuat demikian maka permohonan baru bagi carian nama perlu dilakukan semula.

Biasanya SSM akan mengambil satu (1) hingga lima (5) hari bekerja untuk mengagihkan sijil penubuhan (Borang 9). Syarikat ini dianggap telah berjaya diperbadankan sekiranya Borang 9 telah diagihkan oleh SSM.

 

5. Berapakah yuran penyelenggaraan tahunan Sdn Bhd?

Kos penyelenggaraan tahunan berbeza-beza bagi syarikat yang berlainan dan ia banyak bergantung kepada perolehan perniagaan atau jualan, jumlah urus niaga perniagaan dan jumlah aset syarikat tersebut bagi tahun kewangan tersebut. Yuran penyelenggaraan Sdn Bhd yang dorman adalah dalam lingkungan RM2,000 ke RM3,000 (termasuk yuran audit dan yuran setiausaha). Jika syarikat tersebut adalah aktif sepanjang tahun, kos pematuhan yang perlu dibayar oleh syarikat untuk mengekalkan status undang-undang adalah kira-kira RM 5000 ++ di mana ia termasuk:

(a) Yuran Audit

(b) Yuran Ejen Cukai

(c) Yuran Kesetiausahaan Syarikat

 

Berikut ialah anggaran yuran penyelenggaraan tahunan bagi syarikat yang mempunyai perolehan atau jualan antara RM100,000 hingga RM500,000:

  • Yuran tahunan kesetiausahaan sebanyak RM780.
  • Penyerahan Laporan Tahunan kepada SSM sebanyak RM270 (termasuk Bayaran kepada SSM RM150) dan penyerahan simpanan Akaun yang diaudit kepada SSM sebanyak RM170 (termasuk Bayaran kepada SSM RM50).
  • Yuran Tahunan untuk Perkhidmatan Perakaunan sebanyak RM1,200 hingga RM3,000 untuk menyediakan akaun pengurusan dan penyata kewangan untuk diaudit. Bayaran ini hanya dikenakan kepada syarikat-syarikat yang tidak mengupah kakitangan perakaunan untuk mengurus dan menyediakan penyata kewangan mereka untuk diaudit.
  • Yuran Tahunan untuk Perkhidmatan Audit sebanyak RM1060 hingga RM3,000.
  • Yuran Perkhidmatan Tahunan bagi Pengiraan Cukai Pendapatan Syarikat kepada Ejen Cukai yang berjumlah dari RM400 hingga RM1,200.
  • Jumlah kos dianggarkan sebanyak RM 8000 setahun.

 

Berdasarkan perbandingan antara kedua-dua entiti perniagaan tersebut, jelas kini bahawa keputusan anda perlu dipertimbangkan dari sudut bajet, persepsi korporat dan liabiliti. Jika anda memilih enterprise, segala untung bersih yang dijana daripada perniagaan akan dikembalikan kepada anda sebagai ganjaran tetapi liabiliti hutang anda adalah tidak terhad.

Bagi Sdn Bhd pula, keuntungan yang dijana daripada perniagaan adalah milik syarikat dan bukannya pemegang saham. Namun begitu, liabiliti pemegang saham adalah terhad dan pengarah pula tidak bertanggungjawab terhadap liabiliti syarikat. Selain itu, syarikat perlu melantik setiausaha syarikat untuk memastikan bahawa semua syarat telah dipatuhi dan buku serta rekod berkanun adalah dijaga.

 

Jika anda ingin mencari perkhidmatan pendaftaran syarikat, khidmat nasihat korporat dan perkhidmatan setiausaha syarikat, sila klik sini. Anda boleh menghubungi mereka untuk pertanyaan dan bandingkan yuran pendaftaran syarikat dan yuran kesetiausahaan bulanan.

 

 

 

Share